Isnin, 26 Disember 2016

ULASAN DIALOG KOTA RAYA-JURAGAN SIRI 1

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB






































      Juragan merupakan kartunis yang memulakan Siri kartun Dialog Kota Raya sejak Harian Metro diterbitkan pada 25 Mac 1991.[1] Kartunis Mohd Desa Omar atau lebih popular dengan nama penanya, Juragan menyumbang kreativitinya untuk akhbar Harian Metro sejak awal penerbitan akhbar ini. Pembabitan Juragan dalam dunia kartun bermula sejak 1978 ketika beliau berusia 13 tahun. Ketika itu, Juragan mula berkarya secara sambilan untuk majalah Gila-Gila. Di majalah Gila-Gila, Juragan mendapat bimbingan kartunis tersohor, Rejabhad. Kemudian, apabila berusia 18 tahun, Juragan berkhidmat secara sepenuh masa sebagai penerbit di majalah Batu Api bersama kartunis Mishar. Sebelum melukis kartun untuk akhbar Harian Metro, Juragan pernah menyepi seketika dari bidang ini. Beliau bertugas sebagai guru selama kira-kira 10 tahun sebelum kembali menjadi kartunis.[2]

      Saya mengikuti kartun Dialog Kota Raya oleh Juragan sejak tahun 1991 lagi. Ketika itu saya menetap di Pekan dan mengajar di SMK Tengku Abdullah. Saya mula membeli Harian Metro pada tahun 1991, tetapi mula melanggan akhbar ini pada tahun 1992 hingga sekarang. Saya amat meminati kartun Juragan, Mungkin kerana pada awal persekolahan saya pernah menjadi pelukis kartun sambilan dan behenti melukis setelah melanjutkan pelajaran ke UKM pada tahun 1984.

      Dialog Kota Raya siaran hari Rabu 21 Oktober 1992 memaparkan peristiwa perlantikan Pengurus baru Pasukan Bolasepak Selangor Datok  Haji Mohd. Aini Taib.  Datok Aini Taib menjawat jawatan sebagai Pengurus Pasukan Bolasepak Selangor mulai tahun 1993-1998.Beliau berjaya membawa pasukan Bolasepak Selangor menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1995,1996 dan 1997.[3]




[1] http://bijakjaya.blogspot.my/2011/01/kini-utusan-malaysia-berita-harian.html
[2] Today Deal $50 Off : https://goo.gl/efW8Ef
[3] Harian Metro, Rabu 21 Oktober 1992.

SEJARAH PERKEMBANGAN SMK JENGKA 2 1973-2015

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
SMK JENGKA 2  DI BAWAH PENTADBIRAN TUAN HAJI IBRAHIM MOHAMAD 1973-1979.

      Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 dibuka pada 1 Januari 1973 di kawasan seluas 15 hektar merupakan sekolah menengah pertama di Wilayah Pembangunan Jengka. Sekolah ini memulakan operasinya sehari selepas Pengetua pertama iaitu Tuan Haji Ibrahim Haji Mohamad melaporkan diri pada 1 Januari 1973.[1]

Blogger bergambar bersama Haji Ibhahim di hadapan rumah Guru Besar SMKJ2 pertama.

      Menurut Haji Ibrahim ketika itu bangunan SMK Jengka 2 belum siap dibina . Beliau diarahkan untuk membuka kelas sementara di Sekolah Kebangsaan Jengka 2. Dengan jasa baik Guru Besar Encik Ahmad Osman, dua buah kelas disediakan untuk SMK Jengka 2.[2]
  Dua bilik bangunan lama SK Jengka 2 dijadikan dua kelas T.1 SMK Jengka 2 1 Januari 1973.


[1] Majalah Jaya Edisi 24 2002, hlm.5.
[2]Temu ramah dengan Haji Ibrahim Mohamad pada 7.Ogos 2015.

Ahad, 25 Disember 2016

PENCAPAIAN KURIKULUM DAN KOKURIKULUM SMKJ2 1973-1979

PENCAPAIAN KURIKULUM DAN KOKURIKULUM SMKJ2 1973-1979 OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
1.PRESTASI AKDEMIK SMKJ2 1973-1979
Dalam tempoh 13 tahun mentadbir Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, Tuan Haji Ibrahim juga terlibat dengan pencapaian sekolah dalam dua jenis peperiksaan iaitu Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Menurut Muhammad Zain Mat beliau merupakan salah seorang calon Sijil Rendah Pelajaran tahun 1975 dan peratus kelulusan sekolah ketika itu ialah sebanyak 70.%.[1]

      Keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1976 meningkat 6.7%, iaitu dari 70% tahun 1975 kepada 76.7%. Malangnya keputusan peperiksaan Sijil Rendah pada tahun 1977 dan tahun 1978  semakin merosot. Peratus kelulusan pada tahun 1977 ialah sebanyak 65.0%  iaitu merosot sebanyak 11.7%. Zaman kemerosotan ini berterusan apabila kelulusan Sijil Rendah Pelajaran tahun 1978 menurun kepada 42.7%.  Ini bermakna peratus kelulusan telah menurun kepada 22.3%. Tetapi keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran  pada tahun 1979 meningkat sebanyak 4.7%. Kelulusan SRP pada tahun 1979 ialah 47.4%.

2.PRESTASI KOKURIKULUM 1973-1979
Sukan bola sepak mula diperkenalkan di SMK Jengka 2 sejak Tuan Haji Ibrahim bin Haji Muhamad menjadi Pengetua antara tahun 1973 hingga tahun 1979.[2] Menurut Encik Muhammad Zain lagi, pada tahun 1970-an, pasukan bolasepak  SMK Jengka 2 semakin kuat. Latihan yang lebih baik dan kesungguhan pemain dan jurulatih telah melahirkan sebuah pasukan bolasepak yang kuat di SMK Jengka 2. Ini terbukti apabila SMK Jengka 2 muncul juara bola sepak peringkat daerah Maran sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada tahun 1977, 1978 dan 1979.[3] Pada tahun 1979 Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 menjadi naib Johan Bahas Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Pahang. Piala yang dipertandingkan ketika itu ialah Piala Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.[4]




[1]Temu ramah  dengan Muhammad Zain Mat, pada 7 Februari, 2014.
[2]Majalah Jaya Edisi 24, 2002, hlm.10
[3]Temu ramah  dengan Muhammad Zain Mat, pada 7 Februari, 2014.
[4] Jaya 2003 Edisi Jubli Perak, 26.

KAMPUNG GAJAH PERAK

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Sebelum sampai ke Kompleks Sejarah Pasir Salak saya terlebih dahulu sampai di Kampung Gajah, Perak.Kapung Gajah merupakan nama kampung yang agak unik. Kapung ini diberi nama Kampung Gajah berdasarkan kepada tiga kisah lagenda. Pertama, Kampung Gajah dinamakan Kampung Gajah kerana dipercayai banyak didapati gajah-gajah yang berkeliaran di Bukit Tunggal dalam Kampung Gajah. Gajah-gajah ini hidup dengan memakan  tanaman-tanaman yang diusahakan oleh penduduk, seperti pokok pisang dan kelapa, yang gajah suka makan umbutnya. Dari sinilah dipercayai kampung itu dinamakan Kampung Gajah.[1]

      Legenda kedua ialah sewaktu tentera-tentera Siam datang hendak menyerang Kampung Gajah mereka melihat banyak kesan-kesan tapak kaki gajah dalam sawah dan di tebing sungai yang menimbulkan rasa cemas dan takut di hati mereka. Justeru mereka membatalkan hasrat mereka untuk menyerang Kampung Gajah. Sedangkan apa yang mereka lihat itu bukannya tapak kaki gajah yang sebenarnya, tapi kaki manusia yang membesar dan membengkak kerana diserang oleh penyakit untut yang berpunca dari gigitan sejenis nyamuk yang dipanggil elephhhantiatis yang banyak terdapat di paya-paya tropika.

      Legenda ketiga berhubung dengan sebuah batu besar yang menyerupai seekor gajah yang terletak di kaki Bukit Tunggal.  Batu Gajah itu mengikut legenda berasal dari seekor gajah yang telah disumpah oleh makhluk halus yang dipanggil Sang Kelembai. Makhluk ini dipercayai tinggal dalam hutan dan tidak suka mendengar bunyi bising. Bila ada sesiapa membuat bising, Sang Kelembai yang dipercayai mempunyai kuasa sakti akan menegur, dan bila ditegur manusia atau binatang yang membuat bising itu terus bertukar menjadi batu.[2]

    Fot0 1: Kapung Gajah


[1] Pondok Rahmat, “Kampung Gajah Dalam Lakaran Sejarah Perak”, http://pondokrahmat .blogspot.my/2013/11/kampung-gajah-dalam-lakaran-sejarah.html (diakses pada 23 Disember, 2016).
[2] Ibid.

Sabtu, 24 Disember 2016

PENERBITAN AKHBAR MELAYU TAHAP KETIGA 1926 -1941

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Pada tahap ketiga, iaitu antara tahun 1926 hingga Perang Dunia Kedua, “…33 buah akhbar telah diterbitkan.”[1] Noriah Dermawan menyifatkan, “…tahun 1930-an adalah zaman keemasan di dalam perkembangan akhbar Melayu.”[2] Bagi Roff zaman ini adalah zaman akhbar-akhbar besar iaitu “…Warta Malaya, Lembaga, Majlis dan Utusan Melayu.[3] Akhbar-akhbar ini merupakan akhbar, “… “metropolitant” akhbar yang dianggap berpengaruh dan mempunyai edaran ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan singapura.”[4]

      Sementara itu,menurut W.R. Roff, pada tahun 1930-an peranan Singapura sebagai nadi kewartawanan  mula  merosot  dan  kegiatan kewartawanan mula berpusat di Tanah Melayu. Akhbar mula diterbitkan untuk  mendapat  keuntungan  dan mula terdapat wartawan yang bekerja sepenuh masa seperti Ishak Hj. Muhammad. Manakala bidang “…kewartawanan menjadi satu mata pencarian dan orang-orang surat khabar seperti Onn Jaafar, Othman Kalam dan Abdul Rahim Kajai telah menjadi nama-nama yang terkenal.”[5] Datok Onn pula telah muncul sebagai tokoh nasionalis yang memimpin akhbar Warta Malaya[6]  dan Lembaga  Malaya.[7] 

      Melalui  akhbar-akhbar tersebut Datok  Onn  mengkritik  dasar  British  secara  lembut  serta  meminta  kerajaan memberi peluang kepada orang Melayu  memengang  jawatan  penting dalam kerajaan. Beliau juga membahaskan isu Melayu, isu  mengembalikan  kuasa  Majlis  Undangan  Negeri Melayu Bersekutu, bahaya  tuntutan  imigran, soal  pendidikan  tinggi  untuk orang-orang Melayu dan kemajuan ekonomi Melayu.[8]

            Akhbar-akhbar terkemuka  seterusnya   ialah  Majlis[9]  dan Utusan   Melayu.[10] Menurut A. Samad Ismail, penubuhan Syarikat Utusan Melayu pada tahun 1939 adalah satu detik penting dalam sejarah orang Melayu Singapura. Ini kerana Utusan Melayu menjadi bukti kejayaan jati diri mereka mendirikan sebuah syarikat yang dimodali dan dikendalikan sendiri oleh orang Melayu.[11] Dari segi kandungan pula Utusan dan Majlis memuatkan  perbincangan  ekonomi,  kedudukan  siasah  di Malaya dan soal hangat  seperti  soal  kerajaan  pusat,  kedudukan  orang   Melayu   dalam perkhidmatan kerajaan, siapa orang Melayu jati dan soal pelajaran.[12] Seterusnya, Kesatuan Melayu Muda pimpinan  Ibrahim Yaakob  telah  menggunakan  akhbar  Warta Malaya dan Majlis untuk menyalurkan perjuangan KMM.[13] Pihak Jepun memberi bantuan kewangan kepada Ibrahim Yaakob  untuk  membeli  akhbar  Warta Malaya yang menjadi alat untuk membangkitkan Semangat anti-British di Malaya.

      Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), cuma10 buah akhbar sahaja diterbitkan.[14] Ini kerana Jepun menguasai penerbitan akhbar-akhbar Melayu dan menerbitkan akhbar-akhbar Jepun sendiri untuk menyiarkan propaganda menyokong Jepun. Akhbar yang selaras dengan kehendak Jepun sahaja boleh diterbitkan. Contohnya Majlis menerbitkan akhbar Perubahan Baru,manakala dipercetakan Utusan Melayu pula dikeluarkan Warta Malai. [15] Menurut Noriah,di Perak diterbitkan dua buah akhbar iaitu, Chahaya Timur dan Berita Perak. Di Pulau Pinang diterbitkan akhbar Penang Shimbun Sha dan Pancaran Matahari. Manakala di Kuala Lumpur diterbitkan akhbar Perubahan Baru dan  Berita Malai.[16]

Selepas perang, akhbar Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara memainkan peranan utama untuk membangkit semangat penduduk Malaya bagi menentang Malayan Union. Penentangan ini berpunca dari “penghapusan kedaulatan dan kuasa      -kuasa sultan dan pemberian kerakyatan kepada imigran menerusi prinsip jus soli”.[17]  Antara tahun 1946 hingga 1955 akhbar-akhbar utama di Malaya seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Negara dan Pengasuh banyak menumpukan kepada soal perkembangan UMNO dan soal kemerdekaan.[18]

      Selain daripada membahaskan  kepincangan ekonomi dan sosial serta kegiatan politik orang Melayu, akhbar juga turut  memuatkan penulisan pensejarahan Melayu. Contohnya pada akhir  abad  ke-19 terdapat  dua buah akhbar yang menyiarkan makalah sejarah iaitu Tanjong  Penegeri  dan  Pemimpin  Warta.[19] Seterusnya  antara  tahun 1900 hingga 1920. Jumlah akhbar yang memuatkan penulisan pensejarahan meningkat dari dua kepada enam buah. Contohnya Chahaya Pulau Pinang, Taman Pengetahuan, Neraca, Lembaga Melayu, Lidah Teruna dan Pengasuh.[20]

            Pada tahun 1920 hingga 1955 kesedaran sejarah di kalangan golongan intelegentsia semakin meningkat sehingga kebanyakkan daripada akhbar-akhbar Melayu menyediakan  ruangan  khusus  untuk  sejarah. Berdasarkan  kajian  didapati sebanyak  enam belas buah akhbar  telah  menyiarkan  makalah  pensejarahan  Melayu. Akhbar   bercorak  keislaman seperti  Suara Benar, Lidah Benar dan Pengasuh memberi tumpuan kepada pensejarahan Islam. Manakala akhbar sekular seperti Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya pula menyiarkan pensejarahan tempatan, Eropah, pensejarahan  biografi,  politik,  sosial dan ekonomi.

      Dari segi penerbitan persuratkahabaran Melayu pula, Singapura menduduki tempat pertama dengan menerbitkan 15 buah akhbar, sementara Pulau Pinang 10 buah akhbar serta Perak 5 buah akhbar. Manakala Kelantan menduduki tempat kelima dengan menerbitkan 3 buah akhbar.[21] Kelantan juga muncul sebagai penerbit majalah kelima banyaknya dalam tempoh tahun 1876 sehingga 1941 di Tanah Melayu, iaitu “…menerbitkan 16 judul…”.[22]





              [1]ibid., hlm.22.
              [2]ibid., hlm.22.
              [3]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.38.
              [4]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an ,hlm.22.
              [5] William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.38
[6]Diterbitkan Januari 1930 di Singapura.

[7]Diterbitkan di Singapura pada Disember 1934.

[8]W. R. Roff, Nasionalisma Melayu, hlm. 214.

[9]Majlis diterbitkan di Kuala Lumpur pada tahun 1931-1941 dan pengarang pertama ialah Abdul Rahim Kajai.

[10]Utusan Melayu  diterbitkan  pada 29 Mei 1939 oleh Yusof Ishak, Embok Suloh dan Daud Md.  Syah dan Rahim  Kajai menjadi penyunting pertama.

              [11] A.Samad Ismail, Siapa Sebenarnya Pak Sako?, Utusan Malaysia, 16 September,1996, hlm.7.
[12]W. R.  Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.  38

[13]KMM ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob pada Ogos 1938  dan berjuang untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia.

              [14] Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an,hlm.31.
              [15] ibid., hlm.31
              [16]ibid., hlm.33.
[17]Abdul Hamid Ahmad, Penentangan Orang-Orang Melayu Terhadap Malayan Union, Mini Tesis Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala  Lumpur, 1979/1980, hlm.  11.

[18]Hari Yang Bersejarah, Pengasuh, Bil.  264, 31 Julai, 1954, hlm.  18.

[19]Antara makalah sejarah yang di siarkan ialah sejarah tempatan dan Peperangan Turki dan Greece.

[20]Pengasuh  melalui  ruangan  “Tarikh”,  “Ruangan  Hikayat”,  ”Rencana”,  ”Adakah   Engkau  Tahu”,  Rampaian Pengetahuan”  dan “Sudut Riwayat”  telah  menyiarkan banyak penulisan pensejarahan Islam, tempatan,  poltik, sosial dan  ekonomi.

               [21]Muhammad bin Dato’ Muda, “Tarikh Akhbar-Akhbar dan Majalah Keluaran Semenanjung Tanah Melayu, Majalah Guru, XVI, 1938, hlm.400.
              [22]A.Aziz Deraman, “Kelantan: di Antara Serambi Dunia Persuratan Melayu” ,Seminar Sehari Majalah Pengasuh, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, 15 Julai 2000, hlm.4.

Tahap kedua Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1901-1925

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

      Menurut Noriah Dermawan, pada tahap kedua perkembangan akhbar Melayu (1901-1925) diterbitkan lagi “…11 buah akhbar”[1] Akhbar pertama yang diterbitkan  dalam jangkamasa ini ialah Jambangan Warta.[2] Antara akhbar terpenting pada tahap ini ialah “Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1907. [3] Manakala pengarangnya “Mohd. Eunos Abdullah muncul sebagai Bapa Persuratkhabaran Melayu.”[4] Beliau terkenal sebagai Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu dari tahun 1907 hingga 1909 dan  Lembaga Melayu dari tahun 1914 hingga 1931.

      Utusan  Melayu  tidak  bersifat  radikal  tetapi  cuma  menyiar  berita tempatan dan Tanah Melayu  serta  berita  Perang  Dunia  Pertama. Lembaga  Melayu  pula merupakan akhbar harian termaju sebelum pecah Perang Dunia Kedua. Melalui kedua-dua akhbar ini Eunos berjuang untuk kebajikan dan peluang lebih luas diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu.[5] Pada 9 Februari 1932, dia menerbitkan akhbar harian Perkhabaran Dunia tetapi  ia terbit selama enam minggu sahaja.[6]

            Seterusnya pada awal abad ke 20, gerakan Kaum Muda pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi telah  menerbitkan   akhbar    Neraca,[7]   Idaran  Zaman[8]  dan Saudara[9] untuk menyebarkan pendapat Kaum Muda. Neraca   beredar  di  kalangan  golongan  terpelajar  dari kaum terpelajar di Negeri-Negeri Selat, guru agama dan orang-orang alim di Semenanjung Tanah Melayu.[10] Sebaliknya Kaum Tua menerbitkan akhbar   Lidah Benar [11] dan   Suara  Benar[12].Suara Benar banyak menyentuh soal-soal sosial, ekonomi, agama dan politik.[13] Kedua-kedua buah akhbar ini telah menentang gerakan pembaruan  Kaum  Muda  dan  menuduh  mereka tidak beramal ibadat. Akibatnya akhbar Kaum Muda diharamkan oleh kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Persaingan fahaman Kaum Muda dan Kaum Tua juga berlaku di  Kelantan sebuah negeri yang bercorak keagamaan.

            Menurut W.R. Roff, pada tahun 1920-an bidang  kewartawanan  Melayu mula masuk ke zaman baru apabila akhbar-akbar Melayu di Tanah Melayu mula  membahaskan hal yang berkaitan dengan orang-orang Melayu. Contohnya membahaskan  kedudukan  sosio-ekonomi Melayu yang mundur berbanding bangsa asing, kedudukan bahasa Melayu dan melaporkan kegiatan kelab dan persatuan. Antara akhbar yang membahaskan isu ini ialah Lidah Teruna,[14] Perjumpaan Melayu,[15] dan Pengasuh.

      Lidah Teruna dan Perjumpaan Melayu menjadi  alat  untuk  membincangkan  masalah  kemajuan Melayu dan menyebarkan ilmu pengetahuan  kepada  pembaca.  Pengasuh  pula  membincangkan soal agama,  mendaulatkan bahasa Melayu, menyiarkan perkembangan persatuan dan kelab di Tanah Melayu, isu-isu pelajaran  tinggi  dan politik  semasa di Tanah Melayu. 

            Seterusnya Idaran zaman[16] dan Saudara[17] turut memperjuangkan corak baru perjuangan Kaum Muda. Saudara  sebuah  akhbar  yang  berpengaruh  di Malaya kini lebih mementingkan kemajuan  politik, dan  sosial  orang-orang  Melayu  daripada  ketelitian  pertelingkahan agama antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Sebagai akhbar yang berpengaruh di Tanah Melayu Saudara telah mengasaskan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya  (PASPAM).[18] PASPAM ialah sebuah pertubuhan pertama yang bersifat kebangsaan kerana mempunyai ahli dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuk juga dari Brunei. Manakala akhbar-akhbar yang kurang penting kerana jangka hayat yang pendek ialah, “…Taman Pengetahuan, Bintang Sembilan, Perjumpaan Melayu dan Nun.[19]





              [1]Noriah Dermawan, Sejarah Akgbar-Akhbar Melayu Di Perak 1893-1940-an ,hlm.14.
             [2]Akhbar ini diterbitkan setiap minggu  pada hari Khamis, di bawah pimpinan Abdul Ghani Muhammad Kassim. Akhbar ini pendek umurnya dan lenyap pada tahun 1901 juga.
              [3] ibid., hlm.322.
[4]ibid. , hlm.  19.


[5]ibid. , hlm.  27.

              [6] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998, hlm.1555.
[7]Neraca diterbitkan di Singapura oleh Hj.  Abbas Tahan 1911-1915.

[8]Idaran Zaman diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[9]Saudara diterbitkan di Pulau Pinang 1925-1930.

[10]W. R.  Roff,  Nasionalisma Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1975, hlm.  20.

[11]Lidah  Benar diterbitkan di Kelang Selangor September 1929-1935.

[12]Suara Benar diterbitkan di Melaka pada September 1932, Febuari 1933.

              [13]Khoo Kay Kim, “Melaka Dalam Zaman Moden,” dlm. JEBAT, Bil. 9 1979/80, hlm.32.
[14]Lidah Teruna diterbitkan oleh Persekutuan Orang Islam Muar, Johor pada  tahun 1920.

[15]Perjumpaan Melayu, diterbitkan di Bandar Maharani Muar 1925.

[16]Idaran Zaman  diterbitkan  di  Pulau  Pinang  antara tahun 1925-1930 dan Mohd.  Yunus Abdul Hamid menjadi Pengarang pertama.

[17]Saudara diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi di Pulau Pinang antara tahun1928-1941.

[18]Tujuan penubuhan PASPAM ialah bagi memperbaiki kebajikan orang-orang Melayu.  PASPAM dipimpin oleh Syed  Alwi, S. M  Zainalabidin, Sheikh  Abdullah  Al-Maghribi  dan  Hamidon  Mohd.   Hasyim.  Selepas persidangan pertama pada 11 November 1934 di Taiping bilangan ahli PASPAM meningkat kepada 12000 orang.
              [19]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an, hlm.19. 

1.1 Sejarah Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1876 – 1955.

1.1  Sejarah Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1876 – 1955.
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Munculnya persuratkhabaran  di gugusan Kepulauan Melayu dan sejarah perkembangan selanjutnya adalah seiring dengan kehadiran orang-orang Eropah dan pengukuhan imperium Eropah di wilayah-wilayah rantau ini. Perkembangannya juga telah diperbolehkan oleh penyebaran seni percetakan di rantau ini.[1]  Menurut W.R.Roff, dari segi jumlah penerbitan pula “tidak kurang daripada 147 akhbar dan majalah yang diterbitkan di antara tahun 1876 hingga tahun 1941.”[2] Manakala penerbitan akhbar di Singapura pula didorong oleh “…perkembangan persuratkhabaran berbahasa Melayu di Jawa dan Sumatera pada tahun-tahun enam puluhan telah menarik minat orang Jawi Peranakkan yang cenderung dalam perusahaan percetakan.”[3] 

      Tentang tahap perkembangan persuratkhabaran Melayu pula, Roff telah membahagikan tahap perkembangan persuratkhabaran di Tanah Melayu kepada tiga tahap. Tahap pertama dengan terbitnya Jawi Peranakkan dalam tahun 1867 sehingga tahun 1906, tahap kedua antara tahun 1906-1925 dan tahap ketiga dari tahun 1926-1940-an.[4]

      Menurut Noriah Dermawan, pada abad ke 19 “…terdapat tidak kurang dari empat belas buah akhbar telah diterbitkan di Singapura, Pulau Pinang dan Perak…”.[5] Kegiatan penerbitan suratkhabar di dalam bahasa Melayu ini telah diusahakan oleh masyarakat Jawi Peranakkan atau Jawi Pekan yang beroperasi di kedua-dua  buah kota raya ini.[6] Di Singapura misalnya, terbitan surat khabar Jawi Peranakkan pada tahun 1876 dikatakan membuka era baru dalam kegiatan penerbitan suratkhabar di dalam bahasa Melayu. Ia kemudian diikuti oleh penerbitan akhbar, “…Nujumul Fajar, Shamsul Kamar dan Sekolah Melayu.[7]

Akhbar-akhbar lain yang diterbitkan oleh masyarakat Jawi Peranakkan di Pulau Pinang pada akhir abad ke-19 ialah “…Tanjung  Penegri (1894-5, Pemimpin Warta November 1895 dan Lengkongan Bulan (1900-1).”[8] Manakala di Perak golongan ini menerbitkan akhbar, “…Seri Perak pada bulan Jun 1893.”[9] Seri Perak merupakan “…akhbar pertama berbahasa Melayu yang bercorak umum yang pertama diterbitkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.”[10] Dua buah akhbar lagi yang diterbitkan di Taiping, Perak ialah “…Jajahan Melayu pada tahun 1896 dan Warta Kerajaan Perak pada bulan Januari 1897.”[11]  Akhbar Bintang Timor diterbitkan di Singapura pada bulan Mac 1895.[12] Akhbar-akhbar yang terbit pada penghujung abad kesembilanbelas mempunyai, pekerja dan modal yang terhad, kandungan beritanya juga sedikit sahaja. Akhbar-akhbar ini juga banyak memuatkan berita tentang “…Parsi dan Turki…”.[13]

      Golongan  Jawi  Peranakkan  dan  Arab  dapat  menerbitkan akhbar kerana mereka merupakan   golongan  kaya  yang  memiliki modal dan berpendidikan tinggi. Tujuan penerbitan akhbar  pula  ialah  untuk  menjadi “alat menyebarkan  berita, buah-buah fikiran atau apa-apa  pengetahuan  lain  yang  berguna  untuk  para pembacanya.”[14] Oleh itu akhbar-akhbar ini  bersifat  popular  dan  memuatkan  makalah  yang  digemari oleh  pembaca  seperti cerita pendek bersiri, cerita dan adat serta syair dan pantun. Selain dari itu akhbar-akhbar ini juga menyiarkan berita atau pergolakan peristiwa yang terjadi dalam dan luar negeri bersama sedikit ulasan.[15]




              [1]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas, hlm.19.
              [2]W.R. Roff., Bibliography of Malay and Arabic Periodical Published in the Settkements and Peninsular Malay State 1876 – 1941,London Oxford, University, hlm.8.
              [3]ibid., hlm.57.
              [4]Nik Ahmad Hj. Nik Hassan, “The Malay Press”, JMBRAS, Vol. 36, 1 Mei 1963, hlm.62.
              [5]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an, Tesis jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1974, hlm.12.
              [6]Mohd. Sarim Hj. Mustajab, “Percetakan Melayu dan Suratkhabar di Taiping, Perak,” JEBAT, Bil.10, 1991, hlm.34.
              [7]ibid., hlm.34.
              [8]ibid.
              [9]ibid., hlm.31.
              [10]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia,hlm.314.
              [11]ibid.
[12]Sebuah akhbar harian milik cina peranakan Song Sek Kum, Editornya  ialah  Song  Ong  Siang.  Akbar  rumi ini mengkritik perangai dan amalan adat pembesar-pembesar dan rakyat Melayu yang menghalang kemajuan.
              [13]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu ,hlm.13.
[14]W. R. Roff, Sejarah Suratkhabar Melayu, hlm.  8.

               [15] Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, Cheras, 2001, hlm.23.