OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu
sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa
masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai
sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada
akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar
Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1]
Bagi Roff pula, “…untuk seorang
ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat
perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada
halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi
adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup
ketika itu.”[2]
Manakala menurut Ahmat Adam,
akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak
berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan
kepentingan umum.[3]
Seterusnya, makalah yang
terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa
sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang
menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal
Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4]
Pengasuh pula menyiarkan rencana
yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5]
Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan
sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah
sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam
akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran
sejarah adalah sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan