OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Selain dari itu kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei. Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[1]
Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar, Nujumul Fajar dan Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan dan “…tidak sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[2] Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[3]
Sementara itu, Cahaya Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat halaman turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya “Darihal Duli Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[4] dan “Istanbul”.[5] Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac 1908,[6] kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[7]
Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan surat-surat khabar Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya dan tiada pula dibayar wang yuran langganannya tentulah ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[8] Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap, “…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[9]
Manakala Utusan Melayu dan Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana dibantu oleh akhbar Inggeris Singapore Free Press dan Malaya Tribune. Pengasuh pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar terus juga diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[10]
Berdasarkan contoh-contoh tadi jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana pelanggan akhbar ketika itu tidak ramai dan lebih meminati karya sastera seperti pantun, cerpen, syair, cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi Peranakkan yang mempunyai empat halaman tidak mementingkan makalah pensejarahan, sebaliknya “…separuh isinya dipenuhi dengan iklan.”[11] Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang disebutkan tadi.
Salah sebuah akhbar penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing -masing apabila dibandingkan dengan akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.
Kaedah ini akan meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan pensejarahan bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan