Jumaat, 23 Disember 2016

UNSUR PENSEJARAHAN DALAM AKHBAR MELAYU

UNSUR PENSEJARAHAN DALAM AKHBAR MELAYU
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Unsur historiografi atau pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[1] atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

      Memandangkan akhbar merupakan bayangan falsafah hidup masyarakat setempat, maka lahirlah akhbar-akhbar yang mencerminkan falsafah itu. Misalnya  Pengasuh, Neracha dan Saudara mencerminkan unsur keagamaan. Isi kandungan Neracha dan Saudara, “…cenderung ke arah perjuangan reformasi Islam,iaitu satu gerakan untuk memurnikan kembali ajaran Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.”[2]

       Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak, “…terdapat editor dan penulis Pengasuh yang turut memperjuangkan idea Kaum Muda.”[3] Bagi Khoo Kay kim pula, akhbar-akhbar bercorak keagamaan ini membincangkan segala masalah orang Melayu “…daripada perspektif agama Islam.”[4] Dari segi karya pensejarahan pula akhbar-akhbar ini, “…memberi tumpuan penulisannya adalah kepada pensejarahan Islam.”[5] 

      Manakala menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, akhbar yang sekular orientasinya seperti Chahaya Pulau Pinang, Lembaga Melayu,Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya “…penulisan pensejarahan itu tidak tertumpu kepada pensejarahan Islam, malah kepada peristiwa sejarah seperti sejarah tempatan, sejarah Eropah, tokoh,peperangan, malah sejarah akhbar/ majalah itu sendiri.”[6] Roff pula menyatakan, “ terdapat surat-surat khabar mingguan dan harian yang tiada hubungan dengan agama bernama Utusan Melayu (1907-21) dan Lembaga Melayu (1914-31). Kedua-dua unsur tersebut adalah bentuk-bentuk nilai yang menyelubungi masyarakat Melayu ketika akhbar-akhbar itu berperanan.



              [1]Undang-undang hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat  di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
              [2]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia , Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2001, hlm.324.
              [3]Editor tersebut ialah Tok Kenali dan Hj.Muhammad bin Muhammad Said. Lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998,hlm.61.
              [4]Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Sebagai Sumber Sejarah, hlm.7.
              [5] Muhd. Yusuf Ibrahim,Pensejarahan Melayu 1800-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1994, hlm.143.
              [6]Ibid., hlm.143. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan