Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
(PETIKAN TESIS SARJANA SEJARAH UKM 2004)
(PETIKAN TESIS SARJANA SEJARAH UKM 2004)
1.0 PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang
diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap
satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim,
“Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai
sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah
masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20,
melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1] Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli
sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman
yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada
halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi
adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup
ketika itu.”[2] Manakala menurut Ahmat
Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap
pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang
melibatkan kepentingan umum.[3]
Seterusnya, makalah yang terkandung di
dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah
sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah
riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil
Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada
Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat
menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman
tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun
makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah
supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.
Unsur historiografi atau pensejarahan
yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi
oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman
penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6] atau
pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan
pandangan mereka sendiri.
[1] Khoo Kay Kim, Majalah dan
Akhbar Melayu Sebagai Sunber Sejarah, Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala
Lumpur, 1984, hlm.5.
[2]William R. Roff, Sejarah
Surat-Surat Khabar Melayu, Monograf Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti
Malaya, Kuala Lumpur, 1967,hlm.7.
[3]Ahmat Adam, Sejarah dan
Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas , hlm.30.
[4] Chahaya Pulau Pinang, 29
Disember 1900, hlm.2-3.
[5]Syed Abu Bakar Abdullah
Al-Attas, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam, Pengasuh,
Bil.611, 20 Mei 1937, hlm. 1-2.
[6]Undang-undang hasutan
diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat di
bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami
peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang
sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan
yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public
Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak,
Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka,
KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan