OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
R&D TAHUN 2016
Pada umumnya Kesultanan Melayu Pahang dibahagikan kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama, apabila pemerintahan Siam di Pahang telah diserang dan diambil alih oleh kerajaan Melaka. Maharaja Dewa Sura telah ditawan dan dibawa ke Melaka, puterinya, Puteri Onang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansur Shah berputerakan Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Berlakulah peristiwa di mana anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang bernama Tun Besar sedang bermain sepak raga telah dibunuh akibat ditikam dengan sebab telah menjatuhkan destar Raja Muhammad yang sedang berkuda. Pertelagahan kedua-dua keluarga segera ditegah oleh Bendahara Tun Perak dengan katanya yang masyhur “Nyiah! Nyiah kamu semua, nyiah kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini janganlah kita pertuan”. Lantaran peristiwa itu, Raja Muhammad telah ditolak dari bumi Melaka dan dirajakan di Pahang sebagai sultan yang pertama, bergelar Sultan Muhammad Shah (c. 1470). Makam baginda terdapat di Dusun Pinang, Pahang Tua, Pekan (c. 1475).[1]
Raja Ahmad menyusul menjadi Sultan Pahang setelah kemangkatan Sultan Muhammad Shah. Dari keturunan baginda kedua inilah wujudnya dinasti pertama Kesultanan Pahang dari Kesultanan Melaka sehinggalah ke Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah. Dinasti ini tamat di negeri Pahang setelah Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah dan anakanda baginda, Raja Muda Abdullah dibunuh oleh seorang anggota keluarganya yang turut menerima hukuman yang sama (c. 1614). Makam keluarga diraja ini terdapat di Makam Chondong, Padang Buluh, Pekan.[2]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan